Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Hari bila tatap muka surat depan surat khabar Kosmo!, terpampang gambar 12 orang yang maut dalam Nahas Simpang Ampat, Melaka. Hati aku jadi sedih. Bagi sesetengah orang, tarikh 10.10.10 merupakan tarikh yang menggembirakan tetapi tidak bagi keluarga kesemua mangsa yang terkorban ini. Sebelum ini kita dikejutkan dengan kemalangan yang melibatkan perkhidmatan bas express Sani pada hujung Disember tahun lepas dan setelah kisah itu semakin dilupakan, kita dikejutkan dengan kisah kemalangan maut yang disifatkan sebagai kemalangan yang paling teruk pada tahun ini.
Mangsa-mangsa yang terselamat menceritakan yang pemandu bas tersebut memang memandu dengan laju. Bila aku terbaca pengalaman mangsa yang terselamat merangkak ke atas mayat-mayat untuk keluar dari bas tersebut, kecut hati aku. Ajal maut ketentuan Allah. Kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan.
Aku berharap sangat keluarga 12 orang yang maut dapat mengharungi detik-detik ini. Bukan senang untuk melupakan saat-saat begini. Termasuk juga mangsa-mangsa yang terselamat. Kebanyakkannya pasti akan trauma untuk menggunakan perkhidmatan bas express lagi pada masa hadapan.
Mungkin pihak kerajaan yang terlibat dapat membuat sesuatu untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku. Pemandu-pemandu bas, aku minta sangat supaya memandu dengan berhati-hati. Pemandu bas bertanggungjawab terhadap keselamatan 40 atau lebih penumpang yang dibawa mereka. Tanggungjawab itu memang besar dan berat. Jalankan tugas dengan berhemah dan berhati-hati. Sekurang-kurangnya rancang perjalanan supaya tidaklah terpaksa kelam kabut untuk mengejar masa dengan memandu dengan sangat laju.
Kepada semua yang sedang membaca blog ini, marilah kita sama-sama mensedekahkan surah Al Fatihah kepada semua yang maut dan doakan mangsa-mangsa yang cedera sembuh sepenuhnya. Bagi yang bukan beragama islam, berdoalah mengikut kepercayaan agama masing-masing.
Terima kasih.
Sila Tekan Like Jika Suka
No comments:
Post a Comment